Pengubahsuaian kawalan ini akan memuatkan semula halaman ini

Gunakan AssistiveTouch pada iPhone

Dengan AssistiveTouch pada iPhone, anda boleh menyesuaikan skrin sentuh untuk memenuhi keperluan anda. Jika sesetengah gerak isyarat tidak sesuai untuk anda, gantikannya dengan ketik atau gerak isyarat lain, atau gunakan bunyi ringkas. Anda juga boleh menggunakan AssistiveTouch apabila anda perlu menekan butang iPhone. Anda boleh menggunakan AssistiveTouch tanpa sebarang aksesori atau dengan aksesori adaptif yang serasi (seperti kayu bedik).

iPhone dengan menu AssistiveTouch kelihatan, menunjukkan kawalan untuk Pusat Pemberitahuan, Peranti, Pusat Kawalan, Utama, Gerak Isyarat dan Tersuai

Anda boleh menggunakan AssistiveTouch untuk melaksanakan tindakan seperti yang berikut:

  • Pergi ke Skrin Utama

  • Dwiketik

  • Lakukan gerak isyarat berbilang jari

  • Lakukan gerak isyarat skrol

  • Aktifkan Siri

  • Akses Pusat Kawalan, pemberitahuan, Skrin Kunci, atau Penukar App

  • Laraskan kelantangan pada iPhone

  • Goncang iPhone

  • Ambil gambar skrin

  • Gunakan 3D Touch (pada model iPhone disokong)

  • Gunakan Apple Pay

  • Gunakan SOS Kecemasan

  • Sebut skrin

  • Laraskan seting inap

  • Mulakan semula iPhone

Sediakan AssistiveTouch

Siri: Sebutkan sesuatu seperti: “Aktifkan AssistiveTouch” atau “Nyahaktifkan AssistiveTouch”. Ketahui cara menggunakan Siri.

Atau lakukan yang berikut:

  1. Pergi ke Seting  > Kebolehcapaian > Sentuhan > AssistiveTouch.

  2. Aktifkan AssistiveTouch. Butang menu AssistiveTouch kelihatan pada skrin.

  3. Untuk menyesuaikan AssistiveTouch, ketik mana-mana yang berikut:

    • Sesuaikan Menu Peringkat Atas: Ketik ikon untuk menukar tindakan. Ketik butang Susutan atau butang Tokokan untuk menukar bilangan ikon dalam menu. Menu boleh mempunyai sehingga lapan ikon.

    • Satu Ketik, Dwiketik, Tekan Lama, atau 3D Touch: Tetapkan tindakan tersuai yang berjalan apabila anda berinteraksi dengan butang menu. 3D Touch tersedia hanya pada model iPhone disokong.

    • Cipta Gerak Isyarat Baharu: Tambahkan gerak isyarat kegemaran anda.

    • Kelegapan Melahu: Laraskan keterlihatan butang menu apabila tidak digunakan.

    • Sahkan dengan AssistiveTouch: Pada iPhone dengan Face ID, sahkan bayaran dengan Face ID menggunakan AssistiveTouch berbanding mendwiklik butang sisi.

Petua: Untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan AssistiveTouch dengan cepat, anda boleh menyediakan Pintasan Kebolehcapaian, kemudian klik butang sisi atau Utama tiga kali.

Gunakan AssistiveTouch

Apabila AssistiveTouch aktif, ketik butang menu AssistiveTouch , kemudian pilih tindakan atau gerak isyarat.

Untuk kembali ke menu sebelumnya, ketik anak panah di bahagian tengah menu. Untuk keluar daripada menu tanpa melakukan gerak isyarat, ketik di mana-mana di luar menu.

Untuk mengalihkan butang menu AssistiveTouch, seret butang ke lokasi baharu pada skrin.

Untuk gerak isyarat berbilang jari, lakukan yang berikut:

  • Cubit dan Putar: Ketik Tersuai, kemudian ketik Cubit dan Putar. Apabila dua bulatan cubit kelihatan, sentuh di mana-mana pada skrin untuk menggerakkan bulatan cubit, kemudian seretnya ke dalam atau luar untuk melaksanakan gerak isyarat cubit atau putar. Apabila anda selesai, tekan butang menu.

  • Leret atau seret berbilang jari: Ketik Peranti > Lagi > Gerak Isyarat, kemudian ketik bilangan digit yang diperlukan untuk gerak isyarat. Apabila bulatan kelihatan pada skrin, leret atau seret mengikut arah yang diperlukan oleh gerak isyarat. Apabila anda selesai, tekan butang menu.

Kawal iPhone dengan peranti penuding

Anda boleh menyambungkan peranti penuding bantu Bluetooth® dan USB, seperti peranti trackpad, pengawal permainan dan tetikus.

  1. Pergi ke Seting  > Kebolehcapaian > Sentuhan > AssistiveTouch.

  2. Aktifkan AssistiveTouch.

  3. Di bawah Peranti Penuding, ketik mana-mana yang berikut:

    • Peranti: Pasangkan atau nyahpasangkan peranti dan sesuaikan butang.

    • Kekunci Tetikus: Benarkan penuding AssistiveTouch dikawal menggunakan papan kekunci.

    • Gaya Penuding: Laraskan saiz, warna dan sembunyikan auto seting.

    • Tunjuk Kekunci Atas Skrin: Paparkan papan kekunci atas skrin.

    • Bunyi pada Klik: Mainkan bunyi apabila peranti penuding diklik.

    • Sentiasa Tunjukkan Menu: Menunjukkan menu AssistiveTouch apabila peranti penuding disambungkan.

    • Kesensitifan Penjejakan: Laraskan kelajuan penuding bergerak apabila anda menyeret tetikus atau jari anda pada trackpad.

Anda juga boleh menukar rupa penuding.

Sediakan Kawalan Inap

iPhone melaksanakan tindakan dipilih apabila anda menahan kursor dengan pegun pada elemen skrin atau kawasan skrin.

  1. Pergi ke Seting  > Kebolehcapaian > Sentuhan > AssistiveTouch, kemudian aktifkan Kawalan Inap.

  2. Laraskan mana-mana daripada berikut:

    • Tindakan Pengembalian: Aktifkan untuk menukar tindakan inap pada tindakan pengembalian dipilih selepas melaksanakan operasi.

    • Toleransi Pergerakan: Laraskan jarak kursor boleh bergerak semasa inap pada item.

    • Sudut Pantas: Laksanakan tindakan dipilih—seperti mengambil gambar skrin, membuka Pusat Kawalan, mengaktifkan Siri, menskrol, atau menggunakan pintasan—apabila kursor inap di sudut skrin.

    • Masa yang diperlukan untuk memulakan tindakan inap: Ketik butang Susutan atau butang Tokokan.

Gunakan bunyi ringkas untuk melakukan gerak isyarat

Dengan AssistiveTouch, anda boleh membuat iPhone melakukan gerak isyarat atau aksi lain apabila anda membuat bunyi ringkas seperti pop mulut atau bunyi S.

  1. Pergi ke Seting  > Kebolehcapaian > Sentuhan > AssistiveTouch, kemudian aktifkan AssistiveTouch.

  2. Ketik Aksi Bunyi, kemudian ketik bunyi.

  3. Pilih gerak isyarat atau aksi lain yang anda mahu lakukan apabila anda membuat bunyi.

  4. Untuk melakukan gerak isyarat atau aksi, hanya buat bunyi.

Cipta gerak isyarat tersuai

Anda boleh menambahkan gerak isyarat yang anda selalu gunakan (seperti sentuh dan tahan atau putaran dua jari) kepada menu AssistiveTouch. Anda juga boleh mencipta beberapa gerak isyarat dengan sudut putaran yang berbeza, contohnya.

  1. Pergi ke Seting  > Kebolehcapaian > Sentuhan > AssistiveTouch > Cipta Gerak Isyarat Baharu.

  2. Laksanakan gerak isyarat anda pada skrin rakaman. Contohnya:

    • Gerak isyarat sentuh dan tahan: Sentuh dan tahan jari anda dalam satu tempat sehingga bar kemajuan rakaman mencapai separuh, kemudian angkat jari anda. Berhati-hati agar tidak menggerakkan jari anda semasa rakaman, jika tidak, gerak isyarat akan dirakamkan sebagai seretan.

    • Gerak isyarat putaran dua jari: Putarkan dua jari pada skrin iPhone di sekeliling titik antaranya. (Anda boleh melakukan ini dengan satu jari atau stilus—cuma cipta setiap lengkungan secara berasingan, satu demi satu.)

    Jika anda merakam jujukan ketikan atau gerak isyarat seret, semuanya akan dimain balik pada masa yang sama. Contohnya, menggunakan satu jari atau stilus untuk merakam empat ketikan berjujukan yang berasingan di empat lokasi atas skrin akan mencipta ketik empat jari serentak.

  3. Jika gerak isyarat anda tidak menjadi, ketik Batal, kemudian cuba lagi.

  4. Apabila anda berpuas hati dengan gerak isyarat anda, ketik Simpan, kemudian namakan gerak isyarat.

Untuk menggunakan gerak isyarat tersuai anda, ketik butang menu AssistiveTouch , ketik Tersuai, kemudian pilih gerak isyarat. Apabila bulatan biru mewakili gerak isyarat anda kelihatan, seretnya ke tempat yang anda mahu menggunakan gerak isyarat, kemudian lepaskan.

Morty Proxy This is a proxified and sanitized view of the page, visit original site.
Berguna?
Had aksara: 250
Had aksara maksimum ialah 250.
Terima kasih atas maklum balas anda.
Morty Proxy This is a proxified and sanitized view of the page, visit original site.