Pergi ke kandungan

Platonisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kepala Plato, salinan Romawi. Arca asal dipamerkan di Akademi selepas kematian ahli falsafah tersebut (348/347 SM).

Platonisme ialah falsafah Plato dan sistem-sistem falsafah yang muncul daripadanya. Ia dianggap berlawanan dengan nominalisme atau antirealisme.[b][a] Platonisme telah banyak mempengaruhi pemikiran Barat. Platonisme atau realisme Platonik menegaskan "bentuk-bentuk" atau objek abstrak adalah nyata. Idea ini asalnya digunakan untuk menyelesaikan persoalan universal. Objek-objek abstrak ini ditegaskan wujud dalam alam ketiga yang berbeza daripada dunia luaran yang boleh dicerap dan dunia di dalam kesedaran kita. Idea ini boleh digunakan pada sifat, jenis, proposisi, makna, nombor, set, nilai kebenaran, dan sebagainya (lihat teori objek abstrak).

Doktrin Plato asalnya cubaan untuk mendamaikan realiti yang boleh dicerap tetapi tidak dapat difahami—yang dikaitkan dengan fluks Heraclitus dan dikaji oleh bidang-bidang seperti sains fizikal—dengan realiti yang tidak dapat dicerap tetapi dapat difahami—yang dikaitkan dengan kewujudan nirubah oleh Parmenides dan dikaji oleh bidang-bidang seperti matematik. Geometri merupakan motivasi utama Plato, di samping pengaruh Pythagoras. Bentuk-bentuk tersebut biasanya digambarkan dalam dialog-dialog seperti Phaedo, Symposium dan Republik sebagai arketip sempurna yang mana objek-objek dalam dunia harian hanyalah salinan yang tidak sempurna.[c] Hujah Lelaki Ketiga oleh Aristotle merupakan kritikan yang paling terkenal terhadapnya pada zaman purba.

Plato menubuhkan akademi tersebut, dan pada abad ke-3 SM, Arkesilaus mengguna pakai skeptisisme akademik, kesangsian bahawa manusia dapat mengetahui kebenaran mutlak. Ini menjadi pegangan utama sekolah itu sehingga 90 SM apabila Antiokhus menambah unsur-unsur Stoikisme, menolak skeptisisme, dan memulakan tempoh yang dikenali sebagai Platonisme Pertengahan. Pada abad ke-3 Masihi, Plotinus menambah unsur mistisisme, menubuhkan Neoplatonisme, yang percaya semua yang wujud datang daripada yang Satu atau yang Baik, sumber segala sesuatu. Beliau percaya melalui kebajikan dan meditasi, jiwa mempunyai kuasa untuk mengangkat dirinya bagi mencapai penyatuan dengan yang Satu.

Banyak tanggapan Platonik telah diterima pakai oleh gereja Kristian, yang memahami Bentuk-Bentuk Plato sebagai pemikiran Tuhan (kedudukan yang juga dikenali sebagai konseptualisme ilahi), manakala Neoplatonisme menjadi pengaruh besar kepada mistisisme Kristian di Barat melalui St. Augustine, Doktor Gereja Katolik, yang sangat dipengaruhi oleh Enneads karya Plotinus,[2] dan seterusnya menjadi asas seluruh pemikiran Kristian Barat.[3] Banyak idea Plato telah digabungkan oleh Gereja Roman Katolik.[4] Idea-idea Platonik menyaksikan kebangkitan semula pada zaman Renaissance dan dalam falsafah analitik kontemporari dengan peningkatan Platonisme matematik dalam falsafah matematik moden.

Plato memegang bukunya Timaeus, perincian daripada lukisan dinding Vatikan, The School of Athens

Konsep utama beliau ialah Teori Bentuk. Bentuk-bentuk ini adalah sempurna, abadi dan tidak berubah. Objek-objek yang dapat dicerap hanyalah salinan bentuk-bentuk ini dan tidak sempurna. Kerana perkara-perkara di dunia sentiasa berubah, ia tidak dianggap betul-betul nyata.[5] Bilangan bentuk adalah sama dengan bilangan konsep universal yang dapat dicerap dengan deria.[5] Petikan berikut menunjukkan pemikiran Plato tentang metafizik dan epistemologi semasa pertengahan umur Plato:

[Sokrates:] "Oleh sebab yang elok berlawanan dengan yang hodoh, maka itu ialah dua perkara."
[Glaukon:] "Sudah tentu."
"Dan oleh sebab itu dua perkara, masing-masingnya satu perkara?"
"Saya akui itu juga."
"Maka hujah yang sama juga terpakai untuk keadilan dan kezaliman, yang baik dan yang buruk, dan semua bentuk. Masing-masingnya satu, tetapi kerana muncul di semua tempat secara bersama-sama dengan semua tindakan, tubuh, dan satu sama lain, maka setiapnya nampak seperti banyak perkara."
"Betul."
"Jadi, saya memisahkannya begini: Di satu pihak ada mereka yang kamu baru sahaja panggil pencinta penglihatan, pencinta kepandaian, dan orang amali; di pihak satu lagi ada orang yang menjadi perhatian hujah ini, yang mereka sahaja yang layak dipanggil ahli falsafah."
"Apa maksud awak?"
"Pencinta penglihatan dan pendengaran menyukai bunyi, warna, bentuk yang elok, dan segala-galanya yang dibentuk daripadanya, tetapi pemikiran mereka tidak dapat melihat dan berasa nikmat dengan sifat elok itu sendiri."
"Itu sudah pasti."
"Malah, terdapat sangat sedikit orang yang dapat mencapai dan melihat elok itu sendiri. Bukankah begitu?"
"Semestinya."
"Bagaimana pula dengan seseorang yang percaya pada benda-benda yang elok, tetapi tidak percaya pada keindahan itu sendiri dan tidak dapat mengikut jika seseorang membawanya kepada pengetahuan mengenainya? Tidakkah kamu fikir dia hidup dalam mimpi dan bukannya dalam keadaan terjaga? Bukankah ini bermimpi: biar tidur ataupun jaga, untuk berfikir bahawa keserupaan bukanlah keserupaan tetapi sebaliknya perkara itu sendiri yang diserupainya?"
"Saya pastinya berfikir bahawa seseorang yang melakukan itu sedang bermimpi."
"Namun seseorang yang, berbeza dengan yang ini, percaya pada keindaran itu sendiri, dapat melihat elok itu sendiri dan barang yang mengikutinya, serta tidak percaya bahawa apa yang mengikutinya itu bukan dirinya sendiri ataupun dirinya sendiri itu yang mengikutinya—adakah dia hidup dalam mimpi atau jaga?
"Dia benar-benar jaga."
(Republik Bk. V, 475e-476d, berdasarkan terjemahan G. M. A. Grube dan Khairul Anam Che Mentri)

Buku VI Republik mengenal pasti bentuk yang terunggul ialah Bentuk Kebaikan. Ia punca semua Idea lain, dan padanya kewujudan dan pengetahuan tentang semua Bentuk lain bergantung. Konsepsi yang diperolehi dengan deria tidak akan dapat memberi kita pengetahuan tentang kewujudan sebenar, yakni, tentang bentuk-bentuk.[5] Ia hanya boleh diperolehi melalui aktiviti jiwa di dalam diri sendiri, terlepas daripada masalah dan gangguan deria; iaitu, dengan menggunakan akal.[5] Dialektik, sebagai instrumen dalam proses ini, membawa kita kepada pengetahuan tentang bentuk-bentuk, dan akhirnya kepada bentuk Kebaikan yang tertinggi, ialah ilmu yang pertama.[5] Ahli Neoplatonisme kemudiannya, bermula dengan Plotinus, percaya Kebaikan dalam Republik ini adalah sama dengan dengan yang "Satu" yang di luar pemikiran, sumber sempurna dan tunggal[6] kepada semua benda daripada hipotesis pertama Parmenides (137c-142a).

Etika Platonis adalah berdasarkan Bentuk Kebaikan. Kebajikan ialah pengetahuan, pengakuan bentuk kebaikan yang teragung.[5] Beliau percaya menjadi insan yang baik datang daripada mempunyai pengetahuian. Beliau menyatakan jiwa mempunyai tiga bahagian, iaitu akal, roh dan nafsu. Apabila bahagian-bahagian ini berjalan dengan baik, tiga kebajikan terhasil: Kebijaksanaan, Keberanian, dan Kesederhanaan.[5] Ikatan yang menyatukan kebajikan-kebajikan ini ialah kebajikan Keadilan, apabila setiap bahagian jiwa melaksanakan fungsinya dengan sepatutnya.[5]

Platonisme mempunyai kesan yang mendalam terhadap pemikiran Barat. Dalam banyak tafsiran Timaeus,[7] Platonisme seperti Aristotelianisme mengemukakan alam semesta yang sentiasa pernah wujud, berbeza dengan agama samawi yang percaya bahawa alam semesta ada waktu penciptaan. Berbeza dengan Aristotelianisme, Platonisme percaya idea lebih utama daripada jirim serta individu ditentukan mengikut jiwa mereka, bukan tubuh. Banyak tanggapan Platonik kekal sebahagian dalam agama Kristian.[8]

Di tengah-tengah falsafah Plato ialah teori jiwa. Francis Cornford menyatakan dua tonggak Platonisme ialah teori Bentuk dan doktrin tentang keabadian jiwa.[9]

Falsafah purba

[sunting | sunting sumber]
Tapak Akademi Plato di Athens

Platonisme asalnya dinyatakan dalam dialog-dialog Plato. Watak Sokrates digunakan untuk menghuraikan doktrin-doktrinnya, yang mungkin ataupun tidak serupa dengan pemikiran Sokrates yang sebenar, iaitu guru Plato. Plato menyampaikan kuliahnya di Akademi Platonik, sebuah kawasan yang terdapat dusun suci di luar tembok Athens. Sekolah itu terus beroperasi lama selepas kematian Plato. Terdapat tiga zaman: Akademi Lama, Pertengahan dan Baharu. Tokoh-tokoh utama dalam Akademi Lama ialah Speusippus (anak saudara Plato), yang menggantikannya sebagai ketua sekolah (sehingga 339 SM), dan Xenokrates (sehingga 313 SM). Mereka berdua berusaha untuk menggabungkan spekulasi Pythagoras tentang nombor dengan teori bentuk Plato.

Akademi Skeptik

[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 266 SM, Arkesilaus menjadi ketua akademi tersebut. Fasa ini, yang dikenali sebagai Akademi Pertengahan, menekankan skeptisisme falsafah. Ia dicirikan oleh serangannya terhadap golongan Stoik dan dakwaan mereka tentang sifat pasti kebenaran serta pengetahuan kita mengenainya. Akademi Baharu bermula dengan Karneades pada tahun 155 SM, iaitu ketua keempat selepas Arkesilaus. Ia sebahagian besarnya masih bersifat skeptis, menafikan kemungkinan untuk mengetahui kebenaran mutlak; kedua-dua Arkesilaus dan Karneades berhujah bahawa mereka mengikut pegangan asli Plato.

Platonisme Pertengahan

[sunting | sunting sumber]

Sekitar 90 SM, Antiokhus dari Askalon menolak skeptisisme, memulakan tempoh Platonisme Pertengahan. Ketika ini, Platonisme digabungkan dengan doktrin-doktrin Peripatetik tertentu dan banyak dogma Stoik. Dalam Platonisme Pertengahan, Bentuk-Bentuk Platonik bukannya di luar dunia tetapi di dalam minda rasional, dan dunia fizikal merupakan makhluk hidup yang berjiwa, iaitu Jiwa Dunia. Tokoh terkemuka dalam tempoh ini ialah Ploutarkhos. Sifat eklektik Platonisme pada masa ini dapat dilihat melalui penggabungannya dalam Pythagoreanisme (Numenius dari Apamea) dan ke dalam Falsafah Yahudi[10] (Philo dari Alexandria).

Neoplatonisme

[sunting | sunting sumber]
Ramai tokoh gereja Barat, termasuk Augustinus dari Hippo, telah dipengaruhi oleh Platonisme.

Pada abad ke-3, Plotinus menyusun semula sistem Plato, lalu mengasaskan Neoplatonisme. Platonisme Pertengahan digabungkan dengan mistisisme. Di puncak kewujudan ialah Yang Satu atau Kebaikan, sebagai sumber segala sesuatu.[11] Ia menciptakan "akal" (dipanggil nous), yang menyimpan semua kemungkinan idea.[11] Kemudian, jiwa dunia datang daripada akal. Jiwa dunia ini memberi kehidupan kepada objek dan jasad fizikal.[11] Oleh itu, seluruh alam adalah hidup dan mempunyai jiwa. Jiwa, yang terikat pada jirim, rindu dan ingin bebas untuk kembali ke sumber asalnya.[11] Melalui kebajikan dan pemikiran falsafah, seseorang mampu mengangkat dirinya melepasi akal ke dalam keadaan ekstasi, di mana dia dapat melihat, atau naik kepada, Zat utama yang baik itu yang tidak dapat diketahui oleh akal.[11] Untuk bersatu dengan yang Baik, atau yang Satu ialah matlamat sebenar manusia.[11]

Anak murid Plotinus, Porphyry, diikuti oleh Iamblikhus, membangunkan sistem tersebut untuk menentang agama Kristian—walaupun ramai penulis Kristian awal yang berpengaruh mengambil ilham daripadanya untuk menjelaskan kepercayaan monoteistik mereka. Akademi Platonik ditubuhkan semula dalam tempoh ini; ketuanya yang paling terkenal ialah Proklus (meninggal dunia 485), seorang pengulas terkenal bagi tulisan-tulisan Plato. Akademi tersebut buka sehingga maharaja Rom Justinian menutupnya pada tahun 529.

Falsafah Zaman Pertengahan

[sunting | sunting sumber]

Kristian dan Platonisme

[sunting | sunting sumber]

Neoplatonisme memengaruhi agama Kristian melalui Clemens dari Iskandariah dan Origen,[8] serta Bapa-bapa Kappadokia.[12] St. Augustine juga banyak dipengaruhi oleh Platonisme, selepas membaca terjemahan Latin karya-karya Porphyry dan/atau Plotinus oleh Marius Victorinus.[8]

Platonisme dianggap autoritatif pada Zaman Pertengahan.[8] Platonisme juga mempengaruhi mistisisme Timur dan Barat.[8][13] Sementara itu, Platonisme mempengaruhi pelbagai ahli falsafah seperti di Sekolah Chartres.[8] Walaupun Aristotle menjadi lebih berpengaruh daripada Plato pada abad ke-13, falsafah St. Thomas Aquinas masih berasaskan Platonisme dalam aspek-aspek tertentu.[8]

Falsafah moden

[sunting | sunting sumber]

Renaissance

[sunting | sunting sumber]

Pada zaman Renaissance, minat terhadap pemikiran Platonik meningkat, di samping minat yang lebih mendalam terhadap Plato sendiri.[8] Akademi Florentine kendalian Marsilio Ficino merupakan satu cubaan untuk menghidupkan semula Akademi Plato. Antara ahlinya ialah Giovanni Pico della Mirandolla.

Di England pada abad ke-16, ke-17, dan ke-19, idea-idea Plato mempengaruhi ramai pemikir agama termasuklah golongan Platonis Cambridge.[8] Walau bagaimanapun, aliran Protestan Ortodoks di benua Eropah tidak mempercayai penaakulan manusia dan sering mengkritik Platonisme.[8] Satu isu dalam penerimaan Plato di Eropah moden awal adalah bagaimana hendak menangani unsur-unsur sama jantina dalam korpus penulisannya.[14]

Kristoplatonisme ialah istilah yang digunakan bagi satu dualisme yang berpendapat bahawa roh adalah baik tetapi jirim adalah jahat,[15] yang mempengaruhi sesetengah gereja Kristian. Namun, ajaran Bible menyanggah falsafah ini dan oleh itu ia sentiasa dikritik oleh ramai guru dalam Gereja Kristian hari ini. Menurut Gereja Metodis, Kristoplatonisme "menyanggah catatan Alkitab tentang Tuhan yang menyebut semua yang Dia ciptakan adalah baik."[15]

Falsafah kontemporari

[sunting | sunting sumber]

Platonisme Moden

[sunting | sunting sumber]

Selain Platonisme bersejarah yang berasal daripada pemikir seperti Plato dan Plotinus, kita juga menemui teori objek abstrak dalam pengertian moden.

Platonisme ialah pandangan bahawa wujudnya perkara-perkara seperti objek abstrak—yang mana objek abstrak ialah objek yang tidak wujud dalam ruang atau masa dan oleh itu sepenuhnya bukan fizikal dan bukan mental. Platonisme dalam pengertian ini ialah pandangan kontemporari.[16]

Kebanyakan pengikut Platonisme kontemporari mengesani pandangan mereka daripada Gottlob Frege.

Platonisme moden ini disokong dalam satu cara, dan pada satu masa, atau yang lain oleh ramai ahli falsafah, seperti Bernard Bolzano, yang berhujah menyokong antipsikologisme. Karya-karya Plato telah begitu kuat mempengaruhi ahli-ahli falsafah abad ke-20 seperti Alfred North Whitehead dan Falsafah Proses beliau; serta untuk realisme kritis dan metafizik Nicolai Hartmann.

Dalam falsafah kontemporari, kebanyakan penyokong Platonisme mengesani idea mereka kepada makalah berpengaruh Gottlob Frege bertajuk "Thought", yang menyokong Platonisme berkenaan proposisi, serta buku beliau yang juga berpengaruh, The Foundations of Arithmetic, yang menyokong Platonisme berkenaan nombor dan merupakan teks rintis bagi projek logisis.[16] Ahli falsafah analitik kontemporari yang mendukung Platonisme dalam metafizik termasuklah Bertrand Russell,[16] Alonzo Church,[16] Kurt Gödel,[16] W. V. O. Quine,[16] David Kaplan,[16] Saul Kripke,[16] Edward Zalta[17] dan Peter van Inwagen.[18] Iris Murdoch mendukung Platonisme dalam falsafah moral menerusi buku beliau pada tahun 1970, The Sovereignty of Good.

Cabaran epistemologi Paul Benacerraf terhadap Platonisme kontemporari telah terbukti menjadi kritikan yang paling berpengaruh.

Kontinental
[sunting | sunting sumber]

Dalam falsafah Kontinental kontemporari, hujah-hujah Edmund Husserl menentang psikologisme dipercayai berasal daripada pandangan logik Platonis, yang dipengaruhi oleh Frege dan mentornya Bolzano.[19]—Husserl dengan terang menyebut Bolzano, G. W. Leibniz dan Hermann Lotze sebagai inspirasi bagi pendiriannya dalam Logical Investigations (1900–1) beliau. Ahli falsafah Kontinental kontemporari terkemuka lain yang berminat dalam Platonisme umumnya termasuklah Leo Strauss,[20] Simone Weil[21] dan Alain Badiou.[22]

Pengaruh terhadap agama

[sunting | sunting sumber]

Platonisme bukan sahaja mempengaruhi rukun-rukun Kristian[23] dan Islam yang hari ini diklasifikasikan sebagai ajaran 'ortodoks', malah turut mempengaruhi tradisi 'heterodoks' gnostik atau esoterik agama-agama ini yang tersebar di dunia purba, seperti bekas agama utama dunia Manichaeisme,[24][25] Mandeisme[26] dan Hermetisisme. Melalui kesarjanaan Hermetisisme dan falsafah Platonik, di sisi antara sarjana esoterik dan falsafah lain, pada zaman Renaissance Eropah, sihir dan alkimia pada tempoh tersebut menjadi campuran pelbagai idea berasaskan falsafah Platonik.

Julius Evola memasukkan metafizik Platonik untuk menyokong matlamatnya untuk mengembalikan agama Rom purba, selaras dengan kritikan Tradisionalis beliau terhadap kemodenan. Arturo Reghini, ahli esoterik Itali dan rakan kolaborasi Evola, juga mempromosikan idea-idea Neoplatonik dalam usahanya untuk menghidupkan semula agama Rom purba.[27]

  1. 1 2 "Ahli falsafah yang mengesahkan kewujudan objek abstrak kadangkala dipanggil platonis; mereka yang menafikan kewujudannya kadangkala dipanggil nominalis. Istilah "platonisme" dan "nominalisme" mempunyai pengertian yang mantap dalam sejarah falsafah, yang mana ia menandakan kedudukan yang tidak banyak kaitan dengan tanggapan moden tentang objek abstrak. Dalam hubungan ini, adalah penting untuk diingat bahawa platonis moden (dengan 'p' kecil) tidak perlu menerima mana-mana doktrin Plato, sama seperti nominalis moden tidak perlu menerima doktrin Nominalis zaman pertengahan."[1]
  2. Ahli Platonis terkemudian dan kontemporari tidak semestinya menerima semua doktrin Plato sendiri.[a]
  3. Dalam Republik, bentuk tertinggi dikenal pasti sebagai Bentuk Kebaikan (Yunani: ἡ τοῦ ἀγαθοῦ ἰδέα, rumi: hê tou agatou idea, lit.'idea kebaikan'), sumber kepada semua Bentuk lain, yang boleh diketahui melalui akal. Dalam Sophist, sebuah karya terkemudian, Bentuk 'keberadaan', 'kesamaan' dan 'perbezaan' disenaraikan antara "Jenis Agung" yang purba.
  1. "Abstract Objects" Diarkibkan 2013-12-02 di Wayback Machine, Gideon Rosen, The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Edisi Musim Bunga 2012), Edward N. Zalta (ed.).
  2. O'Connell SJ, RJ, The Enneads and St Augustine's Vision of Happiness. Vigiliae Christianae 17 (1963) 129–164 (JSTOR)
  3. Pelikan, Jaroslav. The Christian Tradition: A History of the Development of Doctrine. Vol 1: The Emergence of the Catholic Tradition 100–600; Pelikan, Jaroslav. The Christian Tradition: A History of the Development of Doctrine. Vol 3: The Growth of Mediaeval Theology 600–1300, seksyen, "The Augustinian Synthesis".
    • The G. K. Chesterton Collection II [65 Books]. Catholic Way Publishing. 2014. ISBN 9781783792108. Plato dalam beberapa pengertian telah menjangkakan realisme Katolik, seperti yang diserang oleh nominalisme sesat, dengan menegaskan fakta yang sama asasnya bahawa idea adalah realiti; bahawa idea wujud sama seperti manusia wujud.
    • G. K. Chesterton (2012). St. Thomas Aquinas. Courier Corporation. ISBN 9780486122267. Kebenarannya ialah Gereja Katolik yang bersejarah bermula dengan menjadi Platonis; dengan menjadi agak terlalu Platonis.
    • Peter Stanford (2010). Catholicism: An Introduction: A comprehensive guide to the history, beliefs and practices of the Catholic faith. Hachette UK. ISBN 9781444131031. Kedua-dua Aristotle dan Plato adalah penting dalam membentuk pemikiran Katolik
    • Bob Gillespie (2009). Machiavelli and the Mayflower: How to Understand the Europeans. La Rémige SARL. m/s. 14. ISBN 9782953386707. Doktrin Gereja Rom diasaskan pada banyak platform, seperti konsep Plato tentang jiwa dan kehidupan selepas kematian
    • Between Past and Future. Penguin. 2006. ISBN 9781101662656. Sejauh mana Gereja Katolik menggabungkan falsafah Yunani ke dalam struktur doktrin dan kepercayaan dogmatiknya
  4. 1 2 3 4 5 6 7 8 Oskar Seyffert, (1894), Dictionary of Classical Antiquities, hlm. 481
  5. Brenk, Frederick (Januari 2016). "Pagan Monotheism and Pagan Cult". "Theism" and Related Categories in the Study of Ancient Religions. SCS/AIA Annual Meeting. 75. Philadelphia: Society for Classical Studies (University of Pennsylvania). Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Mei 2017. Dicapai pada 14 Oktober 2020. Penulis sejarah secara amnya merujuk kepada “yang ilahi” (to theion) atau “yang ghaib” (to daimonion) dan bukannya sekadar “Tuhan.” [...] Golongan Stoik, percaya kepada Tuhan yang boleh dikenal pasti dengan logos atau hegemonikon (akal atau prinsip utama) alam semesta dan merendahkan tuhan-tuhan tradisional, yang malah lenyap semasa kebakaran besar (ekpyrosis). Namun, golongan Stoik nampaknya tidak mengamalkan pemujaan kepada Tuhan ini. Platonis Pertengahan dan Kemudian, yang bercakap tentang Tuhan yang maha kuasa, dalam wacana falsafah, secara amnya bercakap tentang Tuhan ini, bukan tuhan-tuhan, sebagai bertanggungjawab terhadap penciptaan dan pemeliharaan alam semesta. Mereka juga, bagaimanapun, nampaknya tidak mengamalkan pemujaan agama secara langsung kepada Tuhan mereka.
  6. rujuk ulasan Proclus tentang 'Timaeus'; Cornford 1937
  7. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 "Platonism." Cross, F. L., ed. The Oxford dictionary of the Christian church. New York: Oxford University Press. 2005
  8. Cornford, Francis (1941). The Republic of Plato (dalam bahasa Inggeris). Oxford: Oxford University Press. m/s. xxv.
  9. "Platonism – Medieval Platonism". Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-07-21. Dicapai pada 2020-04-22.
  10. 1 2 3 4 5 6 Oskar Seyffert, (1894), Dictionary of Classical Antiquities, halaman 484
  11. Armstrong, A. H., ed., The Cambridge History of Later Greek and Early Medieval Philosophy, Cambridge, 1970.
  12. Louth, Andrew. The Origins of the Christian Mystical Tradition: From Plato to Denys. Oxford: Oxford University Press, 1983.
  13. Reeser, Todd W. 2016. Chicago: University of Chicago Press.
  14. 1 2 Robin Russell (6 April 2009). "Heavenly minded: It's time to get our eschatology right, say scholars, authors". UM Portal. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 July 2011. Dicapai pada 10 March 2011. Greek philosophers—who believed that spirit is good but matter is evil—also influenced the church, says Randy Alcorn, author of Heaven (Tyndale, 2004). He coined the term "Christoplatonism" to describe that kind of dualism, which directly contradicts God's biblical record calling everything he created "good."
  15. 1 2 3 4 5 6 7 8 Balaguer, Mark (2016), "Platonism in Metaphysics", dalam Zalta, Edward N. (penyunting), The Stanford Encyclopedia of Philosophy (ed. Spring 2016), Metaphysics Research Lab, Stanford University, diarkibkan daripada yang asal pada 2022-06-18, dicapai pada 2022-07-10.
  16. Linsky, B., dan Zalta, E., 1995, "Naturalized Platonism vs. Platonized Naturalism", The Journal of Philosophy, 92(10): 525–555.
  17. Van Inwagen, Peter (2009). "God and Other Uncreated Things", dalam Kevin Timpe & Eleonore Stump (ed.), Metaphysics and God: Essays in Honor of Eleonore Stump. Routledge.
  18. Alfred Schramm, Meinongian Issues in Contemporary Italian Philosophy, Walter de Gruyter, 2009, ms. 28.
  19. Peter Graf Kielmansegg, Horst Mewes, Elisabeth Glaser-Schmidt (eds.), Hannah Arendt and Leo Strauss: German Émigrés and American Political Thought After World War II, Cambridge University Press, 1997, ms. 97: "Many commentators think that [Strauss's] exposition of the true Platonist was meant as a self-description of Strauss."
  20. Doering, E. Jane, and Eric O. Springsted, eds. (2004) The Christian Platonism of Simone Weil. University of Notre Dame Press. ms. 29.
  21. Sean Bowden, Badiou and Philosophy, Edinburgh University Press, 2012, ms. 63.
  22. Hampton, Alexander J. B.; Kenney, John Peter, penyunting (2021). Christian Platonism: a history. Cambridge, United Kingdom ; New York, NY: Cambridge University Press. ISBN 978-1-108-49198-3.
  23. Corrigan, Kevin; Rasimus, Tuomas (2013). Gnosticism, Platonism and the late ancient world: essays in honour of John D. Turner. Nag Hammadi and Manichaean studies. Leiden: Brill. ISBN 978-90-04-22383-7.
  24. Dardagan, Amer (2017-05-13). "Neoplatonism, The Response on Gnostic and Manichean criticism of Platonism". SocArXiv. doi:10.31235/osf.io/krj2n. Dicapai pada 2024-06-04.
  25. Nasoraia, Brikha H. S. (2021). Trompf, Garry (penyunting). The Mandaean gnostic religion: worship practice and deep thought. Studies in world religions. New Delhi: Sterling. ISBN 978-81-950824-1-4.
  26. Giudice, Christian. Occult Imperium: Arturo Reghini, Roman Traditionalism, and the Anti-Modern Reaction in Fascist Italy. Oxford University Press, 2022. ISBN 978-0197610244.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Ackermann, C. The Christian Element in Plato and the Platonic philosophy. Diterjemah oleh Asbury Samuel Ralph. Edinburgh: T. & T. Clark, 1861.
  • Cassirer, Ernst. The Platonic Renaissance in England. Diterjemah oleh James P. Pettegrove. Edinburgh: Nelson, 1953.
  • Dorter, Kenneth. 1982. Plato's Phaedo: An Interpretation. Toronto: Univ. of Toronto Press
  • Crombie, Ian 1962. An Examination of Plato's Doctrines, vol. 1. London: Routledge.
  • Frede, Dorothea. 1978. "The Final Proof of the Immortality of the Soul in Plato's Phaedo 102a–107a". Phronesis, 23.1: 27–41.
  • Kristeller, Paul Oskar, "Renaissance Platonism." Dalam Renaissance Thought: the Classic, Scholastic, and Humanistic Strains. New York: Harper, 1961.
  • Walker, Daniel Pickering. The Ancient Theology: Studies in Christian Platonism from the Fifteenth to the Eighteenth Century. London: Duckworth, 1972.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Platonisme
Morty Proxy This is a proxified and sanitized view of the page, visit original site.