Android Ice Cream Sandwich
| Android Ice Cream Sandwich | |
|---|---|
| Versi sistem pengendalian Android | |
Skrin utama Android 4.0 pada telefon Galaxy Nexus | |
| Maklumat umum | |
| Eponim | ice cream sandwich (en) |
| Jenis sistem | Android (mul) |
| Pembangun | |
| Keluaran untuk pembuatan | 19 Oktober 2011 |
| Keluaran akhir | 4.0.4_r2.1 (IMM76L)[1] / 6 Jun 2012 |
| Didahului oleh | Android Gingerbread (2.3) (telefon pintar) Android Honeycomb (3.0) (tablet) |
| Diganti oleh | Android Jelly Bean (4.1) |
| Ciri teknikal | |
| Pengurus pakej | APK (mul) |
| Jenis inti | Monolithic (Linux) |
| Pautan berkaitan | |
| Tapak web | developer |
| Status sokongan | |
| |
| sunting · sunting di Wikidata |
Android Ice Cream Sandwich (versi 4.0) ialah versi utama keempat bagi sistem operasi mudah alih Android yang dibangunkan oleh Google. Diperkenalkan pada 19 Oktober 2011, Ice Cream Sandwich dibina bersandarkan kepada perubahan besar yang sebelum ini dilakukan oleh Android Honeycomb (iaitu versi khusus untuk tablet), dalam usaha untuk mencipta satu platform bersatu bagi kedua-dua telefon pintar dan komputer tablet. Telefon pintar pertama yang dilancarkan bersama Android Ice Cream Sandwich ialah Galaxy Nexus.
Android 4.0 memfokuskan kepada usaha memudahkan serta memodenkan pengalaman penggunaan Android melalui satu set garis panduan antara muka manusia yang baharu. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, ia memperkenalkan penampilan visual baharu yang diberi nama kod "Holo", yang dibina berasaskan reka bentuk yang lebih bersih dan minimalis, serta fon lalai baharu yang dinamakan Roboto. Ia juga memperkenalkan beberapa ciri baharu yang lain, termasuk skrin utama yang dikemas kini, sokongan komunikasi medan dekat (NFC) serta keupayaan untuk berkongsi (*beam*) kandungan kepada pengguna lain menggunakan teknologi tersebut, pelayar web yang dikemas kini, pengurus kenalan baharu dengan penyepaduan rangkaian sosial, keupayaan untuk mengakses kamera dan mengawal main balik muzik terus dari skrin kunci, sokongan mel suara visual, pengecaman muka untuk membuka kunci peranti ("Face Unlock"), keupayaan untuk memantau dan mengehadkan penggunaan data mudah alih, serta beberapa penambahbaikan dalaman yang lain.
Android 4.0 menerima ulasan positif daripada pengkritik, yang memuji penampilannya yang lebih bersih dan berwajah baharu berbanding versi terdahulu, selain peningkatan prestasi dan fungsi. Walau bagaimanapun, pengkritik masih berpendapat bahawa beberapa aplikasi bawaan Android 4.0 kekurangan kualiti dan fungsi berbanding dengan alternatif pihak ketiga. Mereka juga menganggap beberapa ciri baharu sistem operasi tersebut, terutamanya ciri "face unlock", sekadar gimik.
Setakat Januari 2025[kemas kini], hanya 0.01% daripada kesemua peranti Android menjalankan Android Ice Cream Sandwich.[3]
Pembangunan
[sunting | sunting sumber]Berikutan pelancaran "Android Honeycomb" yang khusus untuk tablet, pengumuman telah dibuat di Google I/O 2011 bahawa versi Android seterusnya yang menggunakan nama kod "Ice Cream Sandwich" (ICS), akan memberi penekanan kepada penyediaan pengalaman pengguna yang bersatu antara kedua-dua telefon pintar dan tablet. Pada bulan Jun 2011, butiran juga mula tersebar mengenai telefon Nexus yang ketika itu baharu oleh Samsung untuk diluncurkan bersama ICS, yang secara ketara akan menggugurkan kekunci navigasi fizikal. Blog Android RootzWiki telah mengeluarkan beberapa keping foto pada Ogos 2011 yang menunjukkan peranti Nexus S menjalankan binaan awal ICS. Foto tersebut memaparkan reka letak menu aplikasi baharu yang menyerupai Honeycomb, serta antara muka baharu dengan rona warna biru.[4][5][6] Majlis pelancaran rasmi untuk Android 4.0 dan telefon Nexus baharu itu pada asalnya dijadualkan pada 11 Oktober 2011 di pameran perdagangan CTIA di San Diego. Walau bagaimanapun, sebagai tanda hormat atas pemergian pengasas bersama Apple, Steve Jobs, Google dan Samsung telah menunda acara tersebut ke 19 Oktober 2011 di Hong Kong.[7] Android 4.0 dan peranti sulungnya, Samsung Galaxy Nexus, telah diperkenalkan secara rasmi pada 19 Oktober 2011. Andy Rubin menjelaskan bahawa versi 4.0 ini bertujuan untuk memberikan pengalaman pengguna yang "menarik dan intuitif" merentasi kedua-dua telefon pintar dan tablet.[8]
Matias Duarte, naib presiden reka bentuk Google, menjelaskan bahawa pembangunan Ice Cream Sandwich adalah berasaskan persoalan "Apakah jiwa bagi mesin baharu ini?". Kajian pengguna mendapati bahawa antara muka Android yang sedia ada ketika itu terlalu rumit, sekali gus menghalang pengguna daripada berasa "berkuasa" ke atas peranti mereka sendiri.[9] Penampilan visual keseluruhan Android telah diperkemas untuk Ice Cream Sandwich, dengan membina atas perubahan yang dilakukan pada Android 3.0 yang berorientasikan tablet, iaitu projek pertamanya di Google; Duarte mengakui bahawa pasukannya telah mengurangkan sokongan untuk skrin yang lebih kecil pada Honeycomb bagi mengutamakan sokongan tablet yang mencukupi, kerana beliau mahu pengeluar peralatan asli (OEM) Android "berhenti melakukan perkara pelik seperti mengambil UI telefon lalu meregangkannya ke tablet bersaiz 10 inci."[9] Ketika menilai pesaing utama Android, Duarte berpendapat bahawa antara muka iOS terlalu bersandarkan skeuomorfik dan jelik, bahasa reka bentuk Metro milik Windows Phone kelihatan terlalu seumpama "papan tanda tandas awam di lapangan terbang", dan kedua-dua sistem operasi berkenaan terlalu cuba memaksa keseragaman, "[tanpa] meninggalkan ruang untuk kandungan itu mengekspresikan dirinya sendiri."[9] Untuk Ice Cream Sandwich, pasukannya menyasarkan untuk menyediakan garis panduan reka bentuk antara muka yang dapat menampilkan rupa moden, di samping mengekalkan kefleksibelan bagi pembangun aplikasi. Beliau menyifatkan rupa paras baharu Ice Cream Sandwich ini sebagai telah "mengurangkan elemen kepelikannya (*geeky*) " berbanding Honeycomb, yang membawa rupa yang lebih futuristik sehingga disamakan oleh pengkritik dengan estetika filem Tron.[9]
Pada Januari 2012, berikutan pelancaran rasmi Ice Cream Sandwich, Duarte dan Google melancarkan portal Android Design (Reka Bentuk Android), yang memaparkan garis panduan antara muka manusia, amalan terbaik, serta sumber lain untuk pembangun yang membina aplikasi Android bagi disesuaikan dengan Ice Cream Sandwich.[10]
Inisiatif oleh Duarte ini kemudiannya berkembang menjadi satu bahasa reka bentuk bersatu untuk versi Android seterusnya bagi jenis peranti yang berbeza, yang dikenali sebagai Material Design, bermula daripada Android Lollipop, iaitu versi 5.0.
Pengeluaran
[sunting | sunting sumber]Galaxy Nexus merupakan peranti Android pertama yang diluncurkan bersama Android 4.0.[8] Android 4.0.3 telah dilepaskan pada 16 Disember 2011, yang membawakan beberapa pembetulan pepijat (bug fixes), API aliran sosial yang baharu, serta beberapa penambahbaikan dalaman yang lain.[11] Pada hari yang sama, Google mula meluncurkan kemas kini Ice Cream Sandwich kepada peranti terdahulu Galaxy Nexus, iaitu Nexus S. Walau bagaimanapun, pada 20 Disember 2011, peluncuran bagi Nexus S telah "ditangguhkan" seketika bagi membolehkan syarikat tersebut "memantau maklum balas" berkaitan kemas kini berkenaan.[12][13]
Pada 29 Mac 2012, Android 4.0.4 telah dilepaskan dengan menambahkan beberapa peningkatan prestasi pada kamera dan putaran skrin, di samping pembetulan pepijat yang lain.[14][sumber lebih baik diperlukan]
Sokongan Google Play Services untuk Android 4.0 telah ditamatkan pada bulan Februari 2019.[15]
Ciri-ciri
[sunting | sunting sumber]Reka bentuk visual
[sunting | sunting sumber]Antara muka pengguna Android 4.0 mewakili evolusi reka bentuk yang diperkenalkan oleh Honeycomb. Walau bagaimanapun, estetika futuristik Honeycomb telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada reka bentuk rata dengan rona warna biru neon, bucu tajam, serta bayang jatuhan (*drop shadows*) untuk memberikan kesan kedalaman. Ice Cream Sandwich juga memperkenalkan fon sistem lalai yang baharu, iaitu Roboto; direka secara dalaman bagi menggantikan keluarga fon Droid, Roboto dioptimumkan terutamanya untuk kegunaan pada paparan mudah alih beresolusi tinggi.[9] Penampilan visual baharu Ice Cream Sandwich ini dilaksanakan melalui set alatan widget yang dikenali sebagai "Holo"; bagi memastikan akses kepada gaya Holo pada semua peranti—walaupun peranti tersebut menggunakan reka bentuk antaramuka tersuai yang lain, semua peranti Android yang diperakui untuk diluncurkan bersama Google Play Store (dahulunya Android Market) mesti menyediakan keupayaan untuk aplikasi menggunakan tema Holo yang asli tanpa sebarang pengubahsuaian.[16][17][18]
Sama seperti Honeycomb, peranti kini boleh memaparkan butang navigasi—"Kembali", "Skrin Utama", dan "Aplikasi terkini"—pada "bar sistem" di bahagian bawah skrin, sekali gus menghapuskan keperluan untuk butang fizikal.[16] Butang "Menu" yang wujud pada generasi peranti Android terdahulu telah ditamatkan fungsinya, bagi memberi laluan kepada penyediaan butang tindakan di dalam aplikasi pada "bar tindakan", manakala item menu yang tidak muat pada bar tersebut diletakkan dalam menu "limpahan tindakan" yang ditandakan dengan tiga titik menegak. Butang fizikal "Cari" juga telah ditamatkan dan digantikan dengan butang carian di dalam bar tindakan. Pada peranti tanpa kekunci "Menu", kekunci "Menu" sementara akan dipaparkan pada skrin semasa menjalankan aplikasi lama yang tidak dikodkan untuk menyokong skim navigasi baharu ini. Bagi peranti yang mempunyai kekunci fizikal "Menu", butang limpahan tindakan akan disembunyikan dalam aplikasi dan fungsinya dipetakan terus ke kekunci fizikal "Menu" tersebut.[19][20]
Pengalaman pengguna
[sunting | sunting sumber]Skrin utama lalai Ice Cream Sandwich memaparkan bar Carian Google yang kekal di bahagian atas, bahagian dok di bawah yang mengandungi butang laci aplikasi di tengah-tengah, serta empat slot untuk pintasan aplikasi di sisinya. Folder aplikasi kini boleh dibuat dengan menyeret sesebuah aplikasi dan meletakkannya di atas aplikasi yang lain. Laci aplikasi dibahagikan kepada dua tab: satu untuk aplikasi dan satu lagi untuk widget yang ingin diletakkan pada halaman skrin utama. Saiz widget itu sendiri kini boleh dilaraskan dan boleh mengandungi kandungan yang boleh ditatal.[9] Android 4.0 turut memperbanyakkan penggunaan isyarat seretan (*swiping gestures*); aplikasi dan pemberitahuan kini boleh dibuang daripada menu aplikasi terkini serta diketepikan daripada kawasan pemberitahuan dengan hanya menyeretnya keluar. Selain itu, beberapa aplikasi bawaan sistem dan Google kini menggunakan bentuk tab baharu, yang membolehkan pengguna menavigasi antara panel berbeza sama ada dengan mengetik nama panel pada jalur atas atau dengan menyeret ke kiri dan ke kanan.[16]
Aplikasi telefon telah dikemas kini dengan reka bentuk Holo, keupayaan untuk menghantar respons mesej teks pra-konfigurasi untuk panggilan masuk, serta penyepaduan mel suara visual dalam paparan log panggilan.[16] Aplikasi pelayar web pula menggabungkan versi dikemas kini bagi WebKit dan V8, yang menyokong penyegerakan dengan Google Chrome, mod pintasan (*override mode*) untuk memuatkan laman web versi desktop berbanding versi mudah alih, serta pelayaran luar talian.[21] Bahagian "Kenalan" dalam aplikasi telefon telah diasingkan menjadi aplikasi "Orang" (*People*) yang baharu, yang menawarkan penyepaduan dengan rangkaian sosial seperti Google+ untuk memaparkan hantaran terbaharu serta menyegerakkan kenalan, bersama profil "Saya" untuk pengguna peranti tersebut. Aplikasi kamera telah direka semula dengan mengurangkan lengah pengatup (*shutter lag*), pengesanan muka, mod panorama baharu, serta keupayaan untuk mengambil foto pegun semasa merakam video dalam mod kamera video. Aplikasi galeri foto menambah alat suntingan foto asas. Skrin kunci kini menyokong "Face Unlock", termasuk pintasan untuk melancarkan aplikasi kamera, dan menempatkan kawalan main balik untuk pemain muzik. Papan kekunci pula menggabungkan algoritma auto-lengkap yang ditambah baik, serta peningkatan pada input suara yang membolehkan imlak secara berterusan.[16][22][23] Keupayaan untuk mengambil tangkapan skrin dengan menekan butang kuasa dan butang "Perlahankan bunyi" bersama-sama turut ditambah.[24]
Pada peranti yang menyokong komunikasi medan dekat (NFC), fungsi "Android Beam" membolehkan pengguna berkongsi pautan kandungan daripada aplikasi yang serasi dengan hanya merapatkan bahagian belakang peranti mereka ke bahagian belakang peranti Android lain yang dilengkapi NFC, dan mengetik skrin apabila digesa.[16] Aplikasi "Sistem" tertentu (terutamanya aplikasi bawaan yang dipra-pasang oleh syarikat telekomunikasi) yang tidak boleh dinyahpasang kini boleh dinyahaktifkan (*turned off*). Tindakan ini akan menyembunyikan aplikasi tersebut dan menghalangnya daripada dilancarkan, namun aplikasi itu tidak dipadamkan daripada storan peranti.[16][22] Android 4.0 memperkenalkan ciri untuk mengurus penggunaan data melalui rangkaian mudah alih; pengguna kini boleh memaparkan jumlah keseluruhan data yang telah digunakan dalam tempoh masa tertentu, serta memaparkan penggunaan data bagi setiap aplikasi. Penggunaan data latar belakang kini boleh dimatikan secara menyeluruh atau mengikut aplikasi, dan had data boleh mematikan data mudah alih secara automatik sekiranya penggunaan mencapai kuota yang telah ditetapkan oleh peranti.[23][22]
Platform
[sunting | sunting sumber]Android 4.0 mewarisi penambahan platform daripada Honeycomb, dan turut menambah sokongan untuk penderia suhu persekitaran dan kelembapan, Profil Peranti Kesihatan Bluetooth (HDP), komunikasi medan dekat (NFC), serta Wi-Fi Direct. Sistem operasi ini juga menyediakan sokongan yang dipertingkatkan untuk input stilus dan tetikus, bersama-sama dengan kebolehaksesan baharu, kalendar, rantai kunci (*keychain*), semakan ejaan, rangkaian sosial, dan API rangkaian persendirian maya (VPN). Bagi sokongan multimedia, Android 4.0 turut menambah sokongan untuk ADTS AAC, bekas format Matroska untuk Vorbis dan VP8, WebP, penstriman VP8, OpenMAX AL, dan HTTP Live Streaming 3.0.[22]
Penerimaan
[sunting | sunting sumber]Android 4.0 telah dilepaskan dengan menerima penerimaan yang positif: Ars Technica memuji antara muka pengguna Holo kerana mempunyai "rasa identiti dan kesepaduan visual yang sebelum ini kekurangan" berbanding versi Android yang terdahulu, di samping mempercayai bahawa gaya antara muka baharu ini dapat membantu meningkatkan kualiti aplikasi pihak ketiga. Aplikasi bawaan Android 4.0 juga dipuji kerana mempunyai fungsi yang sedikit lebih baik berbanding versi sebelum ini. Ciri-ciri lain turut diberi perhatian, seperti peningkatan pada input teks dan suara, kawalan penggunaan data (terutamanya memandangkan peningkatan penggunaan pelan data beralamat/berkuota), serta peningkatan prestasi keseluruhan berbanding Gingerbread. Walau bagaimanapun, ciri Face Unlock dikritik hebat kerana menjadi sebuah gimik yang tidak selamat, dan walaupun memberikan pengalaman yang lebih baik daripada versi sebelumnya, beberapa aplikasi bawaannya (sistem seperti klien e-mel) dikritik kerana masih dipandang rendah berbanding alternatif pihak ketiga.[23]
Engadget turut memperakui kualiti pengalaman Android yang semakin matang pada Ice Cream Sandwich, dan memuji sentuhan moden pada antara muka baharunya berbanding Android 2.3, bersama-sama dengan beberapa ciri baharu yang disediakan oleh aplikasi bawaan Google dan sistem operasi itu sendiri. Kesimpulannya, Engadget berpendapat bahawa Android 4.0 ialah "sebuah sistem operasi yang amat cantik yang menawarkan prestasi hebat dan—bagi sebahagian besarnya—tidak kelihatan seperti usaha yang separuh masak." Walau bagaimanapun, Engadget masih berasakan bahawa beberapa ciri baharu Android 4.0 (spt Face Unlock) mempunyai "rasa perisian beta", mengambil perhatian tentang kekurangan penyepaduan Facebook dengan aplikasi Orang (*People*) yang baharu, serta mendapati sistem operasi tersebut masih tidak begitu intuitif untuk pengguna baharu berbanding pesaingnya.[24]
PC Magazine memperakui pengaruh daripada Windows Phone 7 dalam aplikasi "People" yang baharu dan peningkatan prestasi tanda aras (*benchmark*) pada pelayar web, tetapi menganggap kedua-dua Android Beam dan Face Unlock sekadar gimik, serta mengkritik kekurangan sokongan untuk aplikasi tertentu dan Adobe Flash semasa pelancarannya.[25]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "Android Source". Google Git. June 6, 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada May 11, 2019. Dicapai pada October 15, 2017.
- ↑ "Google is ending Play Service support for Android 4.0 Ice Cream Sandwich". 7 December 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 August 2022. Dicapai pada 27 August 2022.
- ↑ "Mobile & Tablet Android Version Market Share Worldwide". StatCounter Global Stats (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2024-06-22. Dicapai pada 2025-02-21.
- ↑ "Tasty Ice Cream Sandwich details drip out of redacted screenshots". Ars Technica. 11 August 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 April 2021. Dicapai pada 24 July 2014.
- ↑ "Google announces Android Ice Cream Sandwich will merge phone and tablet OSes". Ars Technica. 10 May 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 July 2019. Dicapai pada 24 July 2014.
- ↑ "Leaked specs for beastly Google Nexus 4G may win carriers' hearts". Ars Technica. 15 June 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 May 2021. Dicapai pada 24 July 2014.
- ↑ "Android Ice Cream Sandwich event moved to October 19 in Hong Kong". Ars Technica. 13 October 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2021. Dicapai pada 24 July 2014.
- 1 2 Meyer, David (19 October 2011). "Google unveils Ice Cream Sandwich Android 4.0". ZDNet. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 September 2019. Dicapai pada 24 July 2014.
- 1 2 3 4 5 6 "Exclusive: Matias Duarte on the philosophy of Android, and an in-depth look at Ice Cream Sandwich". The Verge. Vox Media. 18 October 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 February 2012. Dicapai pada November 28, 2011.
- ↑ "Google launches style guide for Android developers". Ars Technica. 13 January 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 November 2016. Dicapai pada 25 July 2014.
- ↑ "Android 4.0.3 Platform and Updated SDK tools" Diarkibkan 2014-07-19 di Wayback Machine. Android Developers Blog. December 16, 2011. Retrieved January 4, 2012.
- ↑ "Nexus S Ice Cream Sandwich update pushed back". TechRadar. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 May 2019. Dicapai pada 25 July 2014.
- ↑ "Samsung Nexus S updates to Ice Cream Sandwich starting today". CNET. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 May 2019. Dicapai pada 25 July 2014.
- ↑ "Google announces Android 4.0.4". The Inquirer. March 29, 2012. Retrieved March 31, 2012.
- ↑ "Google Play services drops support for Android Ice Cream Sandwich". VentureBeat (dalam bahasa Inggeris). 2018-12-07. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-07. Dicapai pada 2018-12-08.
- 1 2 3 4 5 6 7 Amadeo, Ron (16 June 2014). "The history of Android: The endless iterations of Google's mobile OS". Ars Technica. Condé Nast. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 July 2014. Dicapai pada 6 July 2014.
- ↑ "Google requiring default 'Holo' theme in Android 4.0 devices for Android Market access". The Verge. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 July 2014. Dicapai pada 25 July 2014.
- ↑ "Android 4.0 Ice Cream Sandwich SDK released with new features for developers". The Verge. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 July 2014. Dicapai pada 25 July 2014.
- ↑ "Android menu button now on by default on all device with KitKat". PhoneArena.com. December 9, 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada December 13, 2013. Dicapai pada February 9, 2014.
- ↑ "Android 4.0 Ice Cream Sandwich complete guide". SlashGear. 20 October 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 July 2014. Dicapai pada 25 July 2014.
- 1 2 3 4 "Ice Cream Sandwich". Android developers portal. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 May 2016. Dicapai pada 25 July 2014.
- 1 2 3 "Unwrapping a new Ice Cream Sandwich: Android 4.0 reviewed". Ars Technica. 19 December 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 November 2016. Dicapai pada 25 July 2014.
- 1 2 "Android 4.0 Ice Cream Sandwich review". Engadget. December 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 February 2020. Dicapai pada 25 July 2014.
- ↑ "Google Android 4.0 "Ice Cream Sandwich"". PC Magazine. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 February 2012. Dicapai pada 25 July 2014.
Pautan luaran
[sunting | sunting sumber]
Kategori berkaitan Android Ice Cream Sandwich di Wikimedia Commons- Tapak sesawang rasmi

